KUALA LUMPUR:Insiden pemalsuan tanda halal pada daging import ke negara ini dipandang serius oleh semua pihak, selain memerlukan tindakan segera dan penyelesaian secara tuntas

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor menjelaskan, sikap alpa dan sambil lewa mengenai keperluan memenuhi konsep 'halalan toyyiban' oleh sesetengah pihak boleh memberi kesan terhadap spiritual dan fizikal pengguna Muslim di seluruh negara.

Justeru, tegasnya, tiga langkah tuntas perlu diambil oleh semua pihak untuk menangani isu kartel ini.

"Pertama dalam aspek penguatkuasaan, saya berpandangan sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan yang lebih tegas kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu halal ini.

"Mereka yang bersalah perlu disenaraihitamkan dan lesen permit (AP) syarikat yang bersekongkol dalam perkara ini mesti segera ditarik balik.

"Kedua, saya ingin mencadangkan agar kerajaan dapat memperluas penggunaan aplikasi halal Global Halal Data Pool (GHDP) di peringkat kerajaan dan awam.

"Ia adalah platform yang mengumpul, mengesan dan menyimpan kesemua maklumat terperinci mengenai syarikat, produk, rangkaian bekalan yang boleh diakses secara online dengan cepat dan mudah.

"Dengan platform ini, semua pengguna di Malaysia akan dapat menentukan status makanan dan minuman yang diambil tanpa waswas. Pada masa sama, mereka dapat menghindari daripada unsur syubhah dan haram," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Isu kartel: Tiada daging kanggaru, kuda dan babi ditemui 

BACA: Seludup daging: Penubuhan RCI langkah terbaik - Zulkifli

Dalam pada itu Ema Syuhaili turut menyeru agar semua pihak dapat menggembeling tenaga dan usaha dengan lebih padu untuk menyelesaikan isu daging berstatus halal itu dengan kadar segera.

"Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu bekerjasama dengan kepimpinan di peringkat negeri membuat sebarang keputusan dan tindakan segera berdasarkan isu halal dan haram," tegasnya.

Jelasnya lagi, Islam telah meletakkan garis panduan halal dan haram yang jelas dalam pengambilan makanan dan minuman.

"Ia adalah tuntutan ibadah. Pengambilan makanan syubhah dan haram akan memberi kesan besar terhadap pembangunan kerohanian, di samping menjejaskan pembentukan akhlak," ujarnya.

BACA: Kartel daging: PDRM turut buka kertas siasatan - KPN

BACA: Kartel Daging Haram: Kerajaan teliti SOP pensijilan halal minggu ini

Sebelum ini, akhbar Sinar Harian membongkar sindiket penyeludupan daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal.

Menurut laporan akhbar itu, taktik jahat kartel tersebut dibongkarkan dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.