KUALA LUMPUR:Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menganggap tindakan pihak berkuasa mengesan dan menangkap individu terbabit dalam syarikat kartel daging sejuk beku sebagai penyelesaian jangka pendek.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata langkah jangka panjang yang perlu diambil sebenarnya adalah meningkatkan ketelitian di peringkat proses pendaftaran syarikat.

Dakwanya, ada sesetengah syarikat dikesan ditubuhkan oleh sindiket terbabit dengan menyalahgunakan identiti individu tertentu tanpa pengetahuannya.

"Kita jumpa salah seorang individu yang namanya dikaitkan dengan sebuah syarikat berkaitan sindiket terbabit di sebuah kawasan perumahan setinggan. Kita dapati namanya digunakan.

"Dia pun tidak tahu (mengenai penyalahgunaan nama)... dia pakai motor buruk sahaja.

"Satu lagi  kes, ada syarikat besar menggunakan satu nama individu... kita dapati nama dia ada dalam 80 buah syarikat," dakwanya dalam satu sidang media di ibu negara pada Khamis.

Jelas Nadzim lagi, jika mekanisme baharu membabitkan pengesahan identiti dapat diwujudkan, kegiatan mengeksploitasi nama individu lain seperti itu tidak akan berlaku lagi.

Dalam pada itu, Nadzim berharap agensi berkaitan dapat mengadakan operasi pemeriksaan secara besar-besaran membabitkan 21 syarikat pengimport daging yang diiktiraf kerajaan.

"Kita minta 21 syarikat-syarikat besar ini, pihak penguat kuasa pergi periksa semua... membabitkan dokumentasi dan sebagainya di setiap sudut," katanya.

Tambah Nadzim lagi, PPIM yang terbabit dalam pembongkaran kegiatan kartel daging itu sebelum ini, turut menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk membantu kerajaan menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Kartel Daging itu, Abdul Kareem Said, berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengikut langkah Brunei yang mewujudkan pusat penyembelihan sendiri di luar negara.

"Brunei menubuhkan pusat penyembelihan sendiri di Australia, kita boleh menghantar pegawai duduk di pusat penyembelihan atau pun lebih baik adalah pusat ini dikendalikan orang Islam," katanya.