Dua bulan sebelum berlepas ke Amsterdam, Allahyarham Muhammad Afif Tambi, 19, menghasilkan dua buah lukisan.

Lukisan tersebut sempat dikongsikan kepada sepupunya, Nur Sabrina Irwan Zulkarnain, 20, yang tidak mengetahui maksud sebenar di sebalik karya itu.

Namun, selepas Muhammad Afif dan seluruh keluarganya maut dalam nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, barulah Sabrina sedar lukisan tersebut seakan-akan satu mesej daripada Afif.

“Dia hantar gambar lukisan pada saya, dan saya tak tahu maksud dia sebelum ini.

“Selepas dia pergi, baru saya faham," ujarnya.

Lukisan itu memaparkan imej sebuah objek seakan ‘dumbbell’ yang terbang ke udara, meninggalkan jaluran berwarna merah dan putih sambil disaksikan oleh seorang perempuan berambut perang muda dari darat.

Satu lukisan lagi memaparkan seorang lelaki yang sedang terapung di udara.

“Dumbbell ini seakan-akan dia, begitu juga lelaki dalam lukisan yang satu lagi. Jalur merah putih ini seperti warna Malaysia Airlines.

“Macam seolah-olah dia tahu ini akan terjadi pada dirinya,” jelas seorang lagi sepupu Allahyarham Muhammad Afif, Anwar Zafran Zamzuri, 19.

Pulang dari Amsterdam

Muhammad Afif terkorban bersama ibu bapanya, Tambie Jiee dan Ariza Ghazalee, serta dua orang adiknya, Muhammad Afzal dan Marsha Azmeena ketika menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti di Amsterdam.

Salinan asal lukisan itu ditemui dalam bilik Allahyarham Muhammad Afif di Kuala Lumpur, ketika waris terdekat mengemas rumah keluarganya selepas insiden tersebut.

Ia lantas menggerakkan mereka untuk mengabadikan karya terakhir Muhammad Afif itu kepada kemeja-T untuk dijual sebagai kenangan kepada semua yang mengenali mangsa dan keluarganya.

Hasil penjualan baju tersebut akan digunakan bagi meneruskan hasrat keluarga Allahyarham yang sedang mengusahakan pembinaan sebuah surau di tempat asal mereka di Kuching, Sarawak.

Surau Al-Ghazalee yang terletak di Jalan Depo, Petrajaya itu dianggar memerlukan belanja sekitar RM3.5 juta dan kini sedang dalam pembinaan.

Sekiranya berminat untuk membeli kemeja-T kenangan berharga RM69 setiap satu dan menyumbang kepada pembinaan surau tersebut boleh berbuat demikian dengan melayari laman web www.suraualghazali.org untuk maklumat lanjut.