Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) dilancarkan secara rasmi hari ini.

Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menjadi Pengerusi KASIH Malaysia dan Timbalannya ialah Datin Seri Shamsidar Taharin, dan lapan ahli jawatankuasa tadbir termasuk Setiausaha Agung Kasih Malaysia, Dr Hamidah Mat.

KASIH Malaysia adalah pertubuhan yang dianggotai isteri-isteri menteri dan timbalan menteri yang bermatlamat merapatkan silaturahim dan memberi balik khidmat kepada rakyat selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Menurut Tun Dr Siti Hasmah, KASIH Malaysia baru bermula dan akan menyaksikan mesyuarat pertama diadakan.

Pertubuhan itu juga akan melakukan kerja-kerja kebajikan yang akan memanfaatkan rakyat.

“Oleh sebab pertubuhan ini tidak pernah diadakan, sebab sebelum itu ini adalah pembangkang dan kita tidak pernah gabung macam ini. Sekarang kita perlu faham kita akan mula dari zero ground. Alhamdulillah semua isteri menteri dan timbalan telah bersama setuju untuk anjur satu pertubuhan iaitu KASIH,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran KASIH Malaysia yang disempurnakan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Azizdi Seri Perdana di sini hari ini.

Ujarnya, ini merupakan pertama kali gabungan pertubuhan yang diwujudkan isteri-isteri tokoh yang menerajui parti-parti politik yang dahulunya adalah pembangkang.

KASIH Malaysia juga telah merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti termasuk portfolio pendidikan, kebajikan, bencana, sukan dan rekreasi bagi memaksimakan potensi yang ada dalam isteri-isteri menteri dan timbalan menteri.

"Dalam KASIH walaupun kecil, dan mungkin ada yang tidak biasa dengan persatuan seperti ini, sebab pertubuhan sebelum ini mereka tidak bergabung (parti). Kami bersama dan sambutan daripada semua ahli sangat baik," ujarnya.