Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah memerlukan peralatan baharu yang lebih canggih termasuk dron untuk memantau dan mengawal kawasan sempadan bagi mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan ketirisan kepada hasil negara.

Pengarahnya Datuk Johari Alifiah berkata penggunaan dron akan membolehkan pihaknya melakukan pengawasan terutama aktiviti penyeludupan ke kawasan yang lebih luas dan peralatan itu disifatkannya sesuai dalam semua keadaan.

Selain itu, katanya penambahan mesin pengimbas di pintu masuk sempadan dan bot marin baharu yang dilengkapi teknologi terkini turut diperlukan untuk mengawal kawasan perairan negara.

"Semua yang saya sebut tadi sangat diperlukan untuk digunakan mengikut kesesuaian bentuk muka bumi negeri ini yang mempunyai laluan laut, udara dan jalan darat yang luas.

"Memang diakui peralatan kita tidak cukup, jadi kita perlu memohon peralatan ini kepada kerajaan yang kita anggap sangat penting dan dapat membantu kita melaksanakan tugas lebih berkesan dan cekap," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Johari bagaimanapun tidak dapat menjelaskan jumlah peralatan atau aset yang diperlukan pihaknya kerana ia bergantung kepada kemampuan kerajaan untuk menyediakan peruntukkan bagi tujuan itu.

Ahad lalu, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata kerajaan mengalami kerugian antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun disebabkan kebocoran hasil yang berlaku di pintu masuk negara.

Menurut beliau keadaan itu antaranya disebabkan oleh aktiviti penyeludupan yang berlaku sama ada kerana kecuaian ataupun kekurangan peralatan untuk memantau dan mengawal pintu sempadan.

Dalam pada itu, Johari berkata pihaknya mengambil positif kenyataan Ismail itu dan telah menggariskan beberapa tindakan serta cadangan untuk mengelak keadaan itu berterusan, antaranya menyenaraikan nama-nama syarikat atau individu yang melanggar undang-undang di bawah Akta Kastam 1967 khususnya Seksyen 133 dan Seksyen 135.

Selain itu katanya, tahap integriti anggota dan pegawai kastam juga akan terus ditingkatkan dengan tidak menempatkan mereka terlalu lama di sesuatu kawasan yang berisiko berlaku kebocoran hasil serta memantapkan lagi pertukaran maklumat dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk di negara jiran.

-- BERNAMA