Cubaan tiga wanita untuk menyeludup masuk mata wang Malaysia dan Thailand bernilai RM500,000 melalui Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, dekat sini gagal apabila ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak.

Pengarahnya Dr Mohamad Saprin berkata kegiatan suspek yang merupakan seorang warga tempatan dan dua warga Thailand berusia antara 40 dan 51 tahun itu dikesan susulan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka pada 4.15 petang, Jumaat lepas.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, tiga beg galas berisi wang tersebut ditemukan di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan dan di bahagian but.

“Pada awalnya, suspek enggan membuka beg galas yang dibawa dan menyatakan ia berisi pakaian dan makanan bagaimanapun pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah mata wang Ringgit Malaysia dan Baht Thailand yang tidak diikrarkan," katanya pada sidang media di Wisma Kastam di sini, hari ini.

Katanya, kesemua wanita itu direman empat hari bermula 8 Feb lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 28(B)(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Mohamad berkata kesemua suspek yang merupakan rakan niaga mendakwa mereka baharu pertama kali melakukan penyeludupan itu namun JKDM akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada mereka mempunyai rangkaian dengan sindiket penyeludupan mata wang.

“Kita akan semak rekod keluar masuk negara bagi kesemua suspek. Kita akan siasat kemungkinan wang ini dibawa ke kawasan utara berikutan suspek warga tempatan itu berasal dari Sungai Petani, Kedah,” katanya.

-- BERNAMA