Akibat melemparkan kata-kata 'bodoh la polis' kepada seorang anggota polis, seorang penghantar makanan didenda RM1,000 atau penjara dua bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Mahathir Mohd Zin, 38, selepas dia mengaku bersalah mengeluarkan perkataan tersebut yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan atau mengganggu kesantunan terhadap anggota polis, Mohd Norhisyam Mohamad Ashari.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Ampang menghala Hospital Gleneagles, Wangsa Maju pada 10.10 pagi, 23 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal.

Mahathir yang diwakili peguam Hasmah Nordin memohon denda paling minimum kerana anak guamnya mempunyai pendapatan tidak tetap dan juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

-- BERNAMA