Polis Perak menasihatkan para penyokong parti politik supaya mengawal emosi dan tidak bertindak di luar batas undang-undang serta menimbulkan provokasi.

Ia ekoran beberapa perubahan dalam situasi politik kerajaan negeri Perak yang turut menyaksikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak melompat parti.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain bagaimanapun yakin rakyat telah cukup matang dan akan memberi peluang kepada sistem demokrasi untuk berjalan dengan baik.

"Tiada kekecohan berlaku, tiada kekacauan, tiada sekatan. Semua ahli masyarakat dapat jalankan aktiviti harian, boleh pergi sekolah, boleh pergi pasar. Di mana jua mereka berada, mereka boleh bergerak.

"Kita harap perkara ini akan terus berlaku walaupun sudah bertukar kerajaan, ada yang lompat menyokong kerajaan yang ada pada hari ini.

"Jadi, insyaAllah kita harap kemajuan di negeri Perak ini akan lebih tercapai," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat kepada 321 pegawai rendah Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, polis masih belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan, bagaimanapun pihaknya sentiasa bersiap siaga bagi berdepan sebarang kemungkinan kekecohan atau provokasi.

Dalam ucapannya, Razarudin menasihatkan pegawai yang menerima kenaikan pangkat supaya menjaga kepercayaan yang diberi dengan tidak melakukan perbuatan yang melanggar undang.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Perikatan Nasional (PN) Perak yang terdiri daripada UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta tiga wakil rakyat Bebas, mendapat sokongan 35 Ahli ADUN bagi membentuk kerajaan baharu di negeri Perak.

Terdahulu hari ini, Ahmad Faizal mengadap Sultan Perak bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sambil menyatakan Bersatu peringkat pusat telah mencalonkan beliau semula sebagai MB di bawah pentadbiran Kerajaan PN.

Pada masa sama, Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad turut mengadap Sultan bagi menyerahkan calon MB dari Barisan Nasional (BN), iaitu beliau sendiri, yang juga ADUN Kota Tampan.

Kedua-duanya bagaimanapun menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Perak untuk membuat keputusan akhir berhubung perkara itu.