Kementerian Pertahanan akan memperketatkan kawalan di perairan negara khususnya Sabah ekoran kematian seorang komander kumpulan pemberontak Abu Sayyaf yang dibunuh tentera Filipina di Kepulauan Jolo, dua hari lalu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata langkah itu bagi mengelakkan saki baki kumpulan itu memasuki negara ini akibat tekanan susulan operasi berterusan yang dilakukan tentera Filipina.

Beliau yang yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, kematian Alhabsy Misaya itu adalah hasil kerjasama rapat antara tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina.

"Pembunuh Alhabsy Misaya dari kumpulan Abu Sayyaf saya boleh mengesahkannya.

"Dan ianya berkisarkan kerjasama rapat di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina menerusi (hubungan) bilateral", katanya pada sidang media selepas program Ziarah Kasih Sayang Parlimen Sembrong di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Media Filipina melaporkan Ketua Tentera Filipina berkata, pasukan marin negara itu berjaya membunuh komander militan Abu Sayyaf itu yang dipercayai salah seorang penculik terkenal di selatan negara itu.

Jeneral Eduardo Ano berkata, Alhabsy Misaya, terbunuh dalam pertempuran dengan unit marin lewat kelmarin dalam hutan antara bandar Indanan dan Parang di wilayah Sulu.

Alhabsy dikatakan bertanggunjawab di atas penculikan puluhan tebusan Malaysia dan Indonesia, termasuk seorang yang sudah dipenggal kepala.