MELAKA:Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di sekitar Pulau Undan di sini diperluas sehingga 54 kilometer (km) persegi pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata, operasi turut mendapat bantuan unit udara Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta nelayan tempatan.

Katanya, memasuki hari kedua operasi SAR, pasukan polis, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan  Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) masing-masing menggerakkan sebuah bot, manakala bomba menggunakan tiga bot bagi memperluaskan kawasan pencarian.

"Pada hari kedua ini, kita menggunakan bantuan helikopter daripada jabatan bomba untuk mencari di sekitar Pulau Undan, iaitu dalam jarak lebih kurang 12km persegi daripada sini.

"Apabila kerja-kerja SAR ini kita perluaskan di Pulau Undan, kawasan keseluruhan carian melibatkan 54km persegi. Sehingga sekarang, belum ada apa-apa objek yang kita temui," katanya semalam.

BACA: 4 hari tidak pulang, 2 nelayan dikhuatiri hilang, lemas di Selat Melaka 

Semalam, Astro AWANI melaporkan, dua nelayan masing-masing berusia 38 dan 47 tahun, hilang selepas empat hari keluar menangkap ikan di perairan Selat Melaka sekitar Pulau Undan.

Kehilangan Ahmad Norizan Mohamad, 37 tahun, disedari isterinya pada Sabtu setelah dia tidak pulang sejak 13 Jan selepas keluar bersama seorang lagi kawannya, Irwan Radjab, 47 tahun.

Kata Afzanizar, wanita itu juga mendapati kereta jenis Kia Spectra berwarna hitam milik suaminya telah ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Jeti Nelayan Padang Temu sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata, isteri mangsa memaklumkan, pakaian akhir dipakai Norizan ialah t-shirt kolar merah, berseluar pendek jeans berwarna hitam manakala Irwan memakai t-shirt putih dan berseluar biru.

Afzanizar berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Kandang oleh ahli keluarga mangsa pada jam 6 petang Sabtu.

Polis memulakan operasi SAR pada Ahad bagi mengesahkan kedua-dua mangsa turun ke laut.

Katanya, polis turut merakam percakapan beberapa saksi yang memaklumkan terserempak dengan kedua-dua mangsa Rabu lalu.

Ujarnya, saksi pertama memberitahu terserempak dengan kedua-duanya di perairan ketika bot mangsa dalam perjalanan ke arah berbeza, pada Rabu, kira-kira jam 10 malam.

Manakala saksi kedua memaklumkan, terlihat sebuah bot di Pulau Undan pada hari sama, namun tiada kelibat manusia.

Tambah Afzanizar, unit udara bomba berdepan cabaran untuk terbang dengan lebih jauh berikutan keadaan angin agak kuat dengan kelajuan antara 35 hingga 38 knot.