Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bakal menjadi negeri perintis penanaman pokok herba, guarana yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata agensi itu telah meneliti keberkesanan pokok herba tersebut sebagai alternatif kepada tanaman ketum.

Katanya kajian yang dijalankan menunjukkan tumbuhan yang berasal dari Brazil itu berupaya memberi pulangan lumayan kepada pengusaha khususnya pekebun kecil getah Risda.

"Oleh kerana keberkesanannya dari sudut kesihatan, permintaan terhadap herba ini untuk digunakan dalam produk kesihatan, kecantikan dan minuman tenaga sangat tinggi," katanya ketika ditemui pada Majlis Kasihi Pekebun dan Ramah Mesra Bersama Pengerusi RISDA di Dewan Seri Melati, Beseri di sini, hari ini.

Pengarah RISDA Perlis Ramli Tumin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan RISDA Faizatul Akmar Hisan dan Pengarah Koperasi Suruhanjaya Malaysia cawangan Perlis Fadzir Kamaruddin turut hadir.

Beliau berkata guarana menjadi tanaman alternatif selepas cadangan untuk mengkomersialkan penanaman ketum ditolak oleh kerajaan.

"Bagaimanapun kita masih menghadapi kekangan oleh kerana ia melibatkan beberapa prosedur Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang perlu dipatuhi selain untuk membawa masuk benih ke negara ini," tambahnya.

Menurut Zahidi sampel benih tumbuhan itu telah dibawa masuk tetapi masih perlu menyelesaikan sedikit masalah kerana tumbuhan itu dipercayai ada sejenis penyakit yang boleh menjejaskan tanaman lain.

Katanya atas faktor itu, beberapa aspek perlu dipatuhi sebelum benih boleh dibawa masuk dalam kuantiti yang banyak namun penanaman percubaan tumbuhan itu telah dibuat di sebidang tanah seluas 0.4 hektar di Pulau Pinang.

Beliau mendakwa harga guarana dianggarkan mencecah lebih RM100 sekilogram dan setiap pokok berupaya mengeluarkan hasil kira-kira 50 kilogram selepas enam bulan ditanam.

Pokok herba ini juga boleh diusahakan sebagai tanaman kontan di kawasan kebun getah, kata Zahidi.

"Sekiranya percubaan kita menunjukkan hasil memberangsangkan dan setiap prosedur dapat dipenuhi, kita akan ke Sao Paulo pada Januari tahun depan untuk membawa balik benih guarana secara besar-besaran ke negara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahidi yang juga Anggota Parlimen Padang Besar berkata RISDA memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta bagi Program Pembangunan RISDA Perlis yang akan dilaksanakan tahun hadapan membabitkan Program Penanaman Semula Getah, Program Keusahawanan dan Program Khidmat Nasihat kepada pekebun kecil.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan kepada 1,200 pekebun kecil RISDA dalam Parlimen Padang Besar sebanyak RM300 seorang bagi menghadapi sesi persekolahan anak-anak pada awal tahun depan.

-- BERNAMA