Lebih 16 jam bertarung nyawa, dua pelancong yang dilaporkan hilang selepas mengadakan aktiviti berkayak di Pantai Tanjung Tuan, di sini, berjaya diselamatkan pasukan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sekitar 8.35 pagi tadi.

Kedua-dua mangsa, Hew Yoong Loong, 61 tahun, dan Leow Shak Kwan, 54, dijumpai pasukan udara APMM yang sedang menjalankan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan pesawat udara Maritim Malaysia jenis AS365 N3 Dauphin dalam keadaan berpaut pada sebuah kayak.

Kedua-dua mangsa, Hew Yoong Loong, 61 tahun, dan Leow Shak Kwan, 54, dijumpai pasukan udara APMM yang sedang menjalankan gerakan mencari dan menyelamat (SAR). -APMM
Penolong pegawai operasi APMM daerah Kuala Linggi, Leftenan Madya Maritim Rahmat Baharom berkata pesawat udara yang berlepas dari Stesen Udara Maritim Subang pada jam 7.12 pagi itu membuat rondaan di sekitar perairan Tanjung Tuan sebelum terlihat objek seperti jaket keselamatan pada jarak 3.4 batu nautika.

Pemeriksaan di lokasi mendapati kedua-dua mangsa sedang berpaut pada kayak sebelum diselamatkan dan dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang. Mereka kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam kejadian lewat petang semalam, tiga pelancong terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dari Shah Alam dilaporkan hilang ketika berkayak di kawasan pusaran air di Pantai Tanjung Tuan, Port Dickson.

Mangsa wanita Foo Siee Wan, 54, dijumpai selamat selepas berkayak naik ke darat melalui pantai Blue Lagoon di sini sekitar 8 malam tadi.