Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pada Selasa melancarkan Program myGIG sebagai pendekatan strategik menyokong belia dalam ekosistem ekonomi gig pasca-COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata program itu merupakan produk sulung Kerjasama Rentas Kementerian yang ditawarkan kepada belia menggunakan platform sedia ada di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) iaitu eRezeki dan GLOW menjadi myGIG Servis dan myGIG Digital Freelance.

"Program ini merupakan sinergi Kerjasama Rentas Kementerian yang diusahakan oleh KBS dalam usaha membantu kumpulan belia meningkatkan potensi diri serta mengoptimumkan perkembangan ekonomi gig menjadi salah satu sumber meningkatkan pendapatan.

"Pelaksanaan program ini juga mendapat kerjasama padu daripada MDEC dan Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam aspek penyediaan sistem dan platform serta promosi kepada belia sehingga ke peringkat akar umbi," katanya ketika berucap pada perasmian Program myGIG yang disiarkan secara langsung menerusi laman rasmi Facebook KBS, pada Selasa.

Pelancaran myGIG itu dirasmikan secara bersama oleh Reezal Merican serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, Saifuddin berkata kementeriannya akan terus komited untuk mendakap, memahami dan membantu perkembangan ekonomi gig negara ini.

"Kalau dulu kita mungkin risau melihat orang yang bekerja sendiri, namun ekonomi gig ini adalah satu bentuk pekerjaan yang baharu dan kita tidak boleh berlepas tangan daripadanya.

"Ekonomi gig akan kekal di sini dan ia akan berkembang dengan lebih pesat nanti, jadi apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita melihat dan mengambil kira soal kebajikan, perundangan, percukaian dan lain-lain melibatkan pekerja ekonomi gig. Semua ini adalah tanggungjawab kerajaan," katanya.

-- BERNAMA