Kementerian Belia dan Sukan sedang menyelaras dengan pelbagai persatuan belia dan pakar-pakar untuk mendekati kumpulan sasaran dalam usaha mendidik mereka mengenai bahaya fahaman militan dan ekstremisme.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata kementerian juga sedang mengkaji pelbagai aspek termasuk platform media sosial tentang bagaimana belia mudah dipengaruhi dan direkrut untuk menyertai kumpulan ekstremis.

"Kami amat bimbang mengenai radikalisasi golongan muda di Malaysia.

"Jadi kami membawa ramai pakar-pakar ke universiti dan persatuan belia untuk berceramah kepada belia bagi memastikan bahawa mereka tahu bagaimana radikalisasi berlaku," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Kabinet di Seri Perdana di sini hari ini.

Khairy berkata, kementerian telah bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi mengambil tindakan pencegahan terutama dari segi keselamatan sementara kementeriannya menumpukan kepada pendidikan dan kesedaran.

"Bagaimana pengambilan dilakukan secara online. Ini amat penting kerana anggota direkrut secara online oleh kumpulan-kumpulan seperti Daesh tanpa kadang-kadang mengetahuinya.

"Mereka mungkin direkrut melalui mesej politik, mesej agama selepas mereka diradikalisasi," kata beliau.

Beliau berkata kementerian akan menganjurkan lebih banyak program seperti program Sukarelawan Antarabangsa untuk membolehkan ramai golongan muda dari Malaysia menyumbang secara positif di luar negara.

"Sekarang, 50 orang belia dari Malaysia berada di Kemboja kerana melakukan kerja-kerja komuniti. Kita memerlukan lebih banyak peruntukan untuk memperluaskan program ini.

"Jika kita memberi peluang kepada golongan muda dari Malaysia untuk berkhidmat di peringkat antarabangsa dengan melakukan kerja-kerja komuniti, maka kecenderungan untuk menyertai pertubuhan-pertubuhan radikal akan berkurangan," katanya.