Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM10 juta kepada Impact Malaysia yang ditubuhkan bagi mencapai matlamat ke arah pembangunan belia dan inovasi sosial.

Menteri KBS, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, platform ini menghubungkan badan kerajaan, syarikat korporat, NGO, organisasi masyarakat sivil, perusahaan sosial dan individu, kepada belia Malaysia, supaya mampu menjalankan tanggungjawab ke arah membentuk Malaysia yang lebih baik.

"Ketika ini kita ada terlampau banyak program sukarelawan malah ada banyak kementerian mempunyai program yang sama dan akhirnya menjuruskan kepada pertindihan matlamat sekali gus membuatkan mereka bersaing sesama sendiri.

"Tetapi Impact Malaysia ini lain, ia merupakan kombinasi semua pihak, membuka pintu kepada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, perusahaan malah individu untuk melakukan inovasi sosial melalui teknologi terkini yang boleh digarapkan.

Melalui inovasi sosial ia sekali gus mencari permasalahan sosial yang dihadapi masyarakat kemudiannya menyelesaikannya melalui teknologi yang akan dibawakan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran Impact Malaysia di Puchong, pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Impact Malaysia Ahmed Faris Amir berkata terdapat tiga strategi program yang telah dirangka iaitu Impak melalui teknologi (ITT), Impak melalui komuniti (ITC) dan Impak melalui perniagaan (ITB) yang membolehkan interaksi kerjasama antara pelbagai pihak yang berkepentingan melalui semua program.

"Ketika ini kita telah mempunyai dua projek perintis di bawah ITT iaitu membawa teknologi penapis air di Sungai Buloh, Selangor dan teknologi lampu menggunapakai tenaga solar di Sungai Koyan, Pahang.

"Kita akan membawa mereka yang boleh memberikan teknologi kepada masyarakat dengan kos yang lebih efektif. Ini akan membolehkan belia menyumbang kemahiran yang mereka ada kepada komuniti setempat.

" ITB pula memudahkan proses untuk syarikat korporat dan perniagaan untuk menyertai arena perubahan sosial. ITC memberdayakan lebih banyak projek impak sosial yang diterajui oleh belia, dengan sokongan daripada rakan-rakan kongsi di dalam ekosistem ini," jelas beliau.