Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi bantuan dan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk mewujudkan sebuah litar lumba di negeri itu.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihak beliau mendapat banyak maklum balas dan permintaan daripada golongan muda di Sabah untuk menyediakan fasiliti tersebut.

"Sebelum ini pun bila belanjawan keluar saya dah arahkan semua ketua Armada negeri seorang demi seorang, dan di peringkat Sabah, ketua Armada negeri telah membangkitkan isu ini iaitu litar lumba.

"Perkara ini kita berurusan dengan pihak kerajaan negeri yang dikatakan bakal membina litar lumba dan pihak KBS akan memberi bantuan dan komitmen kerana ia patut ada di negeri Sabah dan Sarawak masih belum ada lagi seperti di Pagoh, Sepang dan Kedah,"katanya.

Saddiq berkata demikian selepas menghadiri majlis dialog Townhall di Dewan Masyarakat Pimping Daerah Membakut pada Ahad.

Beliau menghadiri tiga Townhall di Sabah dalam tempoh tiga hari setakat ini menjelajah ke daerah Keningau, Ranau dan Membakut bagi mendengar suara dan sesi dialog di bagi golongan muda di luar bandar.

Beliau juga memberitahu sebanyak 350,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan meliputi pelbagai sektor dengan bajet lebih RM6 bilion yang dilihat mampu memberi impak positif bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia.