Kerajaan mengakui berdepan kesukaran untuk membanteras perjudian haram di negara ini meskipun telah melaksanakan pelbagai langkah bagi membanteras aktiviti tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman, kementeriannya berdepan cabaran untuk mengekang aktiviti tersebut kerana permit premis dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Apabila kita menjalankan serbuan, hari esoknya premis akan tutup kedai mereka. Namun sehari selepas tutup, pemilik operator ini akan memohon permit baharu dengan nama syarikat baharu.

"Isunya yang mengeluarkan lesen ini adalah pihak berkuasa tempatan, bukannya polis dan kementerian.

"Apa yang paling teruk, kesemua permit ini didaftarkan di bawah jenis perniagaan hiburan keluarga di mana secara undang-undangnya adalah sah, tapi sebaliknya mereka menjalankan operasi perjudian haram mengunakan lesen tersebut," katanya dalam Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Azis berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Anggota Parlimen Kota Baru, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini, Azis mendedahkan sejumlah 973 laporan diterima daripada talian 'hotline' dan bilik gerakan khas bagi aduan perjudian haram dari 20 Julai hingga 31 Oktober.

Daripada jumlah itu, sebanyak 456 premis telah diserbu manakala 253 lagi dalam tindakan.