Kementerian Dalam Negeri masih belum menerima surat permohonan rayuan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung penggantungan sementara parti itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau ada mendapat maklumat bahawa parti itu mahu membuat rayuan berhubung perkara berkenaan, namun pihaknya tidak menerima sebarang dokumen setakat ini.

"Saya sudah membaca dalam media bahawa mereka (PPBM) akan membuat rayuan. Sehingga kini saya belum menerima sebarang surat rayuan," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

RoS pada Khamis mengeluarkan perintah penggantungan sementara berikutan kegagalan PPBM mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta penyata kewangan setelah diarah berbuat demikian pada 28 Feb melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Ketua pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata setelah mengeluarkan perintah bahawa PPBM mempunyai masa 30 hari untuk mengemukakan butiran itu, parti itu akan dibubarkan sekiranya ia gagal berbuat demikian.

Dalam masa 30 hari itu, PPBM dilarang daripada menggunakan nama dan simbolnya serta menjalankan aktiviti parti.

Pada 20 Mac tahun lepas, PPBM menyertai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan, yang sebelum itu dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara, sebagai komponennya.

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan logo dan simbol PKR oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14, Ahmad Zahid berkata: "Kami mengalu-alukannya ".

Pengumuman itu dibuat pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada program Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia, di Pasir Gudang, Johor malam tadi.

--- BERNAMA