Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengisytiharkan bahawa Coalition Of Malaysian NGOs In The UPR Process (Comango) sebagai sebuah gabungan pertubuhan yang haram.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Mohamad Khalid Shariff menjelaskan Comango merupakan gabungan yang tidak didaftarkan bawah Akta Pertubuhan 1966.

Comango juga disifatkan sebagai kumpulan memperjuangkan hak yang menyeleweng daripada Islam iaitu hak LGBT (Lesbian, Bisexual, Gays, Transgender).

“Gabungan ini kebanyakannya terdiri daripada pertubuhan bukan berasaskan Islam dan sebahagian besarnya tidak berdaftar.

“Setiap pertubuhan yang hendak menjalankan aktiviti secara sah di dalam negara, ia hendaklah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) di bawah Akta Pertubuhan 1966 seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966," katanay dalam kenyataan media tersebut.

Katanya mana-mana pertubuhan yang tidak memenuhi keperluan Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 boleh diambil tindakan sebagai pertubuhan yang tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 41(1) (b).

“Comango dengan itu merupakan sebuah pertubuhan haram," katanya lagi.

Mohamad Khalid menegaskan hanya 15 dari 54 pertubuhan yang bergabung dan bernaung di bawah Comango berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Comango sebelum ini menyerahkan satu laporan berhubung isu hak asasi manusia berkaitan agama dan hak kumpulan LGBT di Malaysia kepada Majlis Hak Asasi Manusia (HRC), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tujuan Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review) (UPR) di Geneva.