Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melihat kemungkinan menggunakan satu platform pengenalan diri biometrik yang boleh digunakan untuk semua agensi di bawah kementerian itu.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata sistem pengenalan biometrik di pintu masuk negara dilihat bukan sahaja dapat merekod data keluar masuk pelawat tetapi juga membanteras aktiviti jenayah seperti pemerdagangan manusia dan penjenayah lintas sempadan.

"Matlamat akhir untuk KDN ialah memastikan bahawa semua agensi dalam KDN termasuk Jabatan Imigresen menggunakan platform pengenalan diri biometrik yang sama.

"Kalau ada syarikat seperti AirAsia yang ada sistem biometrik boleh diguna pakai, kita terbuka dengan cadangan tersebut tetapi kena pastikan integrasi dalam sistem yang ada sekarang," kata beliau selepas melancarkan Fast Clearance Experience System (Faces) iaitu sistem pengecaman wajah di pintu perlepasan AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini hari ini.

Buat masa ini, KDN sedang menjalankan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang membabitkan keselamatan biometrik imbasan jari, mata (retina) dan wajah, yang kini dilaksanakan Jabatan Imigresen.

"Untuk jangka masa panjang, banyak negara akan pergi ke arah menggunakan kaedah biometrik sebagai pengenalan diri untuk mana-mana penumpang.

"Pengenalan diri biometrik ini amat penting untuk tujuan lain bukan sahaja bagi pelancongan atau penerbangan dan sebagainya tetapi digunakan untuk mengesan penjenayah seperti penjenayah lintas sempadan dan penyeludupan imigran," kata beliau.

Selain itu, Nur Jazlan berkata sistem pengenalan diri biometrik ini juga boleh digunakan untuk memudahkan pergerakan orang seperti di Tambak Johor dan Linkedua.

Setakat ini dianggarkan seramai 65,000 melalui kedua-dua laluan tersebut, katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Digital, Transformasi, Perkhidmatan Korporat AirAsia Aireen Omar berkata fasa pertama Faces melibatkan penumpang AirAsia bagi laluan domestik.

Bagi tempoh percubaan sejak 24 Jan, seramai 3,000 penumpang telah menggunakan sistem itu.

"Untuk pelaksanaan sistem tersebut bagi fasa kedua, kita akan melibatkan penumpang untuk laluan antarabangsa. Kita jangka sistem Faces untuk penumpang laluan antarabangsa boleh digunakan tahun ini," kata beliau.

Buat masa ini, sistem Faces hanya ditawarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan tiada perancangan lagi untuk diperluaskan ke lapangan terbang lain dalam negara, kata Aireen.

Dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh AirAsia, Faces menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengenal pasti tetamu yang telah berdaftar di pintu perlepasan sendiri, membolehkan mereka menaiki penerbangan mereka tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong dan Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd Md Derick Basir.

-- BERNAMA