Kementerian Dalam Negeri akan meneliti akta-akta serta undang-undang yang sedia ada mengenai jenayah rumahtangga dan keganasan domestik.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Anak Kujat berkata, ini adalah supaya hukuman yang lebih berat untuk kesalahan itu dapat dipertimbangkan.

"Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan kes keganasan rumahtangga melalui kerjasama dengan NGO dan mengadakan program kesedaran.

"Oleh kerana masalah ini susah dibendung, sudah pasti kami akan meneliti akta rumahtangga dan undang-undang lain untuk memberi hukuman yang lebih berat," katanya semasa sesi soal jawab di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, yang ingin tahu sekiranya kerajaan berpuas hati dengan jumlah kes keganasan domestik atau berhasrat untuk mencari kaedah-kaedah yang lebih efektif untuk mengurangkannya.

Sementara itu, Masir berkata kes keganasan rumah tangga yang disiasat pada tahun 2014 adalah 4807 dan 1426 daripada kes itu telah dituduh di mahkamah.

"Sebanyak 358 kes daripada jumlah itu telah dijatuh hukum.

"Pada tahun 2015 pula, sebanyak 5,014 kes disiasat, 1,404 kes telah dituduh di mahkamah dan 146 kes telah dijatuh hukum.

"Pada Januari 2016 sahaja sebanyak 461 kes disiasat, 151 kes dituduh di mahkamah dan 13 kes telah dijatuh hukum," katanya.

Tambahnya antara usaha kerajaan untuk mengurangkan kes keganasan adalah memberi kaunseling di balai polis serta program pencegahan jenayah di sekolah.