Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengumumkan 10 inisiatif baharu dalam usahanya untuk mengukuhkan industri perkhidmatan kawalan keselamatan di dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beberapa daripada inisiatif ini sudah dijalankan dan ada yang akan dimulakan tahun hadapan.

"Ini adalah penting untuk memastikan senjata api yang dimiliki oleh syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan ini tidak disalahgunakan bagi tujuan jenayah atau keganasan," kata beliau.

Antara inisiatif yang diumumkan beliau termasuklah mewajibkan semua syarikat kawalan keselamatan untuk menghantar pengawal keselamatan peribadi untuk menjalani latihan khas dan ditauliah KDN dan pihak polis bermula 1 Januari tahun hadapan.

Selain itu, KDN dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), PDRM, Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia dan Persatuan Bank-Bank Islam Dalam Malaysia telah merangka garis panduan berhubung kawalan keselamatan di Institusi Perbankan di Malaysia yang akan mula dikuatkuasakan pada tarikh sama.

Inisiatif ketiga yang diumumkan melibatkan draf pewartaan pakaian seragam pengawal keselamatan, aksesori pakaian seragam dan logo Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) yang sedang diteliti Jabatan Peguam Negara.

Datuk Seri Zahid turut mengumumkan hasrat kerajaan untuk membuat pindaan kepada Seksyen 3 (4) Akta Agensi Persendirian 1971 berhubung tempoh sah laku lesen Agensi Persendirian.

"Buat masa ini, lesen akan tamat pada 31 Disember setiap tahun.

"Saya mencadangkan supaya tempoh lesen berkuatkuasa selama dua tahun selepas pindaan dibuat," kata beliau selepas menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Syarikat Kawalan Keselamatan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur petang tadi.

Inisiatif-inisiatif lain yang akan bermula Oktober ini termasuk semakan status syarikat kawalan keselamatan secara atas talian dan juga operasi ujian saringan air kencing ke atas pengawal keselamatan di seluruh negara pada bila-bila masa.

Empat inisiatif lain yang diumumkan Datuk Seri Zahid ialah tindakan untuk menyeragamkan semua kontrak membekalkan perkhidmatan kawalan keselamatan kepada kementerian dan agensi kerajaan, modul-modul latihan pengawal diberi akreditasi, pembangunan sistem 'self-auditing' oleh KDN dan juga garis panduan baharu melibatkan pengendalian senjata api agar tiada penyalahgunaan berlaku.