Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Tahun Kedua 2020 yang menyusut 17.1 peratus disifatkan tidak selari dengan kadar pengangguran yang diumumkan sebelum ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusuf Saari menjelaskan dengan peratus penyusutan yang tinggi itu, kadar pengangguran sepatutnya melebihi 10 peratus.

"Saya agak terkejut dengan melihat kepada laporan -17.1 peratus agak tinggi dan paling tinggi sejak 1998.

"Selalunya pengalaman kalau Malaysia yang mana keadaan -17.1 peratus ini, selalunya kadar pengangguran lebih dari 10 peratus.

"Namun jika kita lihat laporan pengangguran dan kadar guna tenaga yang baru-baru ini, menunjukkan trend yang menurun.

"Contohnya April, 5.0 peratus, Mei 5.3 peratus, dan Jun telah turun kepada 4.9 peratus.

"Jadi menunjukkan ekonomi itu sudah rebound," beliau berkata demikian semasa Buletin AWANI Khas pada Jumaat.

BACA: KDNK menyusut 17.1 peratus pada suku tahun kedua 2020

Bagaimanapun, peratusan itu boleh dianggap rasional jika kadar pengangguran itu turut mengambil kira pekerja yang cuti tanpa gaji atau apa-apa tindakan majikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"-17.1 peratus ini agak tinggi bagi saya, tetapi mungkin juga saya rasa kadar pengangguran itu dilaporkan tidak mengambil kira mereka yang cuti tanpa gaji dan tindakan semasa MCO semasa itu.

"Kalau kita mengambil kira semua itu, mungkin kadar pengangguran lebih tinggi dan mungkin lebih rasional kepada 17.1 peratus ini.

"Ini kerana apabila kami membuat unjuran, kami berpandukan kepada jumlah pengangguran dilaporkan Jabatan Perangkaan lepas," jelasnya lagi.

Beliau pada masa sama yakin semua sektor akan menunjukkan pemulihan semula pada KDNK Suku Ketiga 2020.

"Sebenarnya rebound itu telah berlaku pada suku kedua, kita sudah mula buka ekonomi kita.

"Pada Jun juga, kita sambut perayaan dan perbelanjaan isi rumah meningkat.

"Jadi apabila saya tengok KDNK suku kedua 2020 menyusut 17.1 peratus ini, saya rasa terkejut," ujarnya.