Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka berkembang pada kadar empat hingga lima peratus pada tahun 2016.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pertumbuhan itu akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.

"Eksport pula tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5 peratus," katanya ketika menggariskan enam pencapaian utama negara dalam Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sektor pembinaan telah berkembang sebanyak 8.4 peratus, perkhidmatan (5.4 peratus) dan pembuatan (4.3 peratus).

Selain itu, katanya negara juga telah dapat mengurangkan defisit fiskal kerajaan daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus yang dijangka pada tahun ini.

Melalui pencapaian ketiga, Najib berkata Dasar Transformasi Nasional (DTN)yang diperkenalkan kerajaan pada 2010 memperlihatkan kemiskinan tegar telah hampir disifarkan apabila kadar kemiskinan berkurangan daripada paras 3.8 peratus pada tahun 2009 kepada 0.6 peratus pada tahun 2014.

Bagi pencapaian keempat, beliau berkata hasil pengurusan ekonomi yang berkesan, kadar pengangguran turut berkurangan kepada 2.9 peratus berbanding 3.4 peratus pada 1999, dengan 1.8 juta peluang pekerjaan berjaya diwujudkan.

"Sebanyak lima juta rakyat di kawasan luar bandar telah berjaya mendapat manfaat kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih," katanya menjelaskan pencapaian kelima.

Menerusi bajet bertemakan 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' Najib berkata bagi pencapaian keenam pula, rakyat telah menikmati pelbagai kemudahan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia, Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Kedai Rakyat 1Malaysia untuk meringankan kos sara hidup.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kemasukan pelaburan asing terus kukuh pada 22.4 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini, manakala indeks Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata bersamaan nilai pasaran RM1.675 trilion menjelang penutupan bursa hari ini.

"Walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak RM418 bilion pada 15 Okt 2015 yang mampu sebenarnya membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.

"Pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi terkawal antara dua hingga tiga peratus," katanya.

Melalui pencapaian yang telah diumumkan, Najib berkata Malaysia bukanlah negara gagal atau bankrap, sebaliknya masih stabil dan kukuh dengan asas ekonomi dan terus berdaya saing.