Kerajaan memberi jaminan bahawa mereka yang sah dalam perkhidmatan dan mendapat taraf berpencen sebelum ini akan terus kekal menerima faedah serta kemudahan skim pencen.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata faedah persaraan yang dinikmati penjawat awam adalah dilindungi di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan iaitu Perlindungan Hak-hak Pencen dan dikawal selia melalui Akta Pencen 1980 (Akta 227) serta Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239).

“Pemberian faedah persaraan kepada pesara kerajaan merupakan penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangan serta jasa penjawat awam sepanjang perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai status terkini cadangan melaksanakan Skim Lantikan Kontrak yang ditambah baik bagi menggantikan Skim Lantikan Tetap dan Berpencen dalam perkhidmatan awam.

Walaupun kerajaan menghadapi cabaran untuk membiayai faedah persaraan berikutan jumlah pesara yang meningkat, Dr Mahathir berkata, kerajaan mengambil langkah mengkaji beberapa mekanisme baharu bagi memastikan bebanan kerajaan dapat dikurangkan dan penjawat awam tidak rugi selepas pencen.

Kata Dr Mahathir, Kerajaan menghadapi cabaran untuk membiayai faedah persaraan berikutan jumlahnya yang semakin meningkat.

“Misalnya, perbelanjaan faedah persaraan pada tahun 2018 telah meningkat kepada RM23.87 billion berbanding RM5.86 billion pada tahun 2006. Jumlah ini dijangka akan meningkat setiap tahun.

“Tambahan pula, Kerajaan terdahulu telah beberapa kali menaikkan gaji penjawat awam pada peratusan yang agak tinggi sekali gus meningkatkan liabiliti pencen,” katanya.