Keadaan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dipukul dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman menunjukkan perubahan yang lebih baik.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata beliau dimaklumkan pihak hospital bahawa secara keseluruhannya keadaan Muhammad Adib kian memuaskan.

“Berdasarkan pemeriksaan dalam paru-paru Adib, didapati tahap oksigennya memuaskan dan terdapat peningkatan, manakala buah pinggangnya bertambah baik.

“Dia dapat mengeluarkan ureanya berbanding keadaannya terdahulu yang tidak dapat melepaskan ureanya,” kata Mohammad Hamdan selepas meluangkan masa melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.

Menurutnya bilangan pelawat dan ruang untuk melawat anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu terpaksa dihadkan bagi mengelak jangkitan kuman.

Sementara itu, jurucakap Institut Jantung Negara (IJN) ketika dihubungi Astro AWANI berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keadaan Muhammad Adib dalam masa terdekat.