Keadaan banjir di empat negeri iaitu Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa dipindahkan meningkat kepada 2,769 orang.

Pahang merupakan negeri paling teruk terjejas dengan penambahan jumlah mangsa dipindahkan meningkat kepada 1,924, berbanding 1,331 mangsa pagi tadi.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Kuantan dan Rompin.

Selepas Kuantan dan Rompin dilanda banjir, Pekan kini bersiap sedia untuk menghadapi bencana itu berikutan paras air di beberapa batang sungai di kawasan Hulu Pahang kini mencecah paras amaran dan dalam keadaan trend terus meningkat.

Di Johor, 426 mangsa banjir masih ditempatkan di beberapa pusat pemindahan di Kota Tinggi dan Mersing.

Kota Tinggi merupakan kawasan yang teruk terjejas di Johor dengan tujuh pusat pemindahan dibuka di daerah itu.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat menyusut sedikit kepada 343 orang apabila banjir pulih di beberapa kawasan.

Selain Dungun, daerah Kemaman merupakan kawasan terbaharu dilanda banjir dengan tiga pusat pemindahan dibuka.

Di Kelantan, jumlah mangsa banijr dipindahkan meningkat sedikit kepada 76 orang, manakala di Sabah, banjir kembali pulih dan semua 288 mangsa dibenarkan pulang.