Tutup

Keadaan jerebu punca penyakit pernafasan meningkat

Keadaan jerebu punca penyakit pernafasan meningkat
Pemantauan dilakukan Kementerian Kesihatan di 31 klinik sentinel jerebu mendapati penyakit asma dan konjuntivitis merekodkan kenaikan. - Gambar hiasan/iStock
KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu yang berterusan melanda negara menyebabkan penyakit berkaitan dengan masalah pernafasan di kawasan terjejas dengan masalah itu mencatat peningkatan.

Pemantauan dilakukan Kementerian Kesihatan di 31 klinik sentinel jerebu mendapati penyakit asma dan konjunktivitis merekodkan kenaikan.

Bagi penyakit asma mencatat peningkatan sebanyak 15.8 peratus (1,187 kepada 1,375 kes) pada minggu epid (ME) 37 (8 hingga 14 Sept 2019) berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun hingga 7 Sept 2019).

Begitu juga dengan penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan 24.9 peratus (253 kepada 317 kes) pada tempoh masa sama, manakala penyakit jangkitan saluran pernafasan (URTI) menunjukkan penurunan 17.3 peratus (7,551 kepada 6,245 kes).
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga jam 7 malam ini, Sri Aman, Sarawak merupakan satu-satunya kawasan kini mencecah Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya iaitu 405, menurun berbanding bacaan 415 direkodkan pada jam 12 tengah hari tadi.

Peningkatan drastik bacaan IPU di Sri Aman itu disebabkan peningkatan asap yang dibawa angin dari Kalimantan, Indonesia apabila banyak titik panas dikesan.
Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Ahmad Saifful Salihin, berkata, lokasi Sri Aman yang mempunyai penduduk sekitar 100,000 orang pula berada paling hampir dengan negara jiran berkenaan menyebabkannya sangat teruk terjejas.

Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri, keadaan itu menyebabkan sejumlah 1,037 sekolah di 20 daerah yang terjejas akibat jerebu di Sarawak hari ini ditutup dan ia membabitkan 136 sekolah menengah dan 901 sekolah rendah melibatkan 325,391 murid.

Dalam hal berkaitan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Datuk Zamrose Mohd Zain menyatakan kesediaan Tentera Darat membantu operasi memadam kebakaran tanah gambut dan belukar di Sri Aman sekiranya mendapat arahan khusus.

Beliau berkata setakat ini, Tentera Darat tidak menerima apa-apa arahan dan bersiap sedia mengerakkan anggotanya sekiranya mendapat 'lampu hijau'.

Sementara itu keadaan jerebu yang berterusan menyebabkan sesi persekolahan di beberapa negeri terpaksa ditutup dan Kementerian Pendidikan akan melaksana sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian sekiranya penutupan sekolah berlarutan akibat masalah ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pihaknya memantau rapi situasi itu terutamanya menjelang ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dijadual bermula 30 Sept ini.

Guru-guru dinasihatkan untuk memberi tugasan kepada pelajar yang sedang bercuti sekarang melalui Google Classroom kerana sekolah ditutup, sebagai opsyen pelantar pembelajaran alternatif.

Bagaimanapun, keadaan jerebu tidak menjejaskan persiapan skuad perahu layar negara menjalani latihan intensif di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Pulau Langkawi, Kedah, sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Sementara itu Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan individu atau syarikat didapati terlibat dalam aktiviti menjejaskan alam sekitar dan mengakibatkan pencemaran seperti jerebu perlu dikenakan hukuman lebih berat.

Berdasarkan APIMS, IPU di tiga kawasan di Sarawak yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat tengah hari tadi iaitu Samarahan (216), Sarikei (221), dan Kuching (243), mencatat penurunan sehingga jam 7 malam ini, namun status kualiti udara di kebanyakan kawasan masih tidak sihat.

-- BERNAMA


Tag: jerebu, penyakit, kesihatan, masalah pernafasan, kementerian kesihatan, asma, konjunktivitis



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.