PADA 1 April 2015 yang lalu, Palestin secara rasmi telah menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Keanggotaan terbabit telah membuka peluang kepada pihak Palestin untuk mengemukakan dakwaan jenayah perang terhadap Israel. Keanggotaan terbabit telah menjadi salah satu titik kejayaan terhadap negara Palestin dari sudut hubungan diplomatik serta perundangan antarabangsa mereka. Ia juga menjadi satu usaha penting yang diambil oleh pihak berkuasa Palestin ke arah kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka serta bebas dari cengkaman rejim Israel yang telah menduduki wilayah Palestin semenjak sekian lama.

Langkah keanggotaan yang diambil ini adalah perlu memandangkan terdapat usaha yang ingin diambil oleh pihak rejim Israel untuk mengelakkan kewujudan sebuah negara Palestin yang benar – benar bebas merdeka. Jika dilihat kembali pada setiap langkah yang telah diambil oleh Israel yang turut dibantu oleh sekutu kuat mereka Amerika Syarikat semenjak beberapa tahun kebelakangan ini seperti pengiktirafan pemilikan Bandaraya Bailtulmaqdis sebagai ibu kota Israel jelas menunjukkan kepada kita bahawa usaha sedang dijalankan oleh Israel untuk menafikan hak rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara Palestin.

Penafian kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka juga sering kali kedengaran dikalangan ahli politik Israel yang berfahaman ekstrem terutamanya apabila tibanya musim pilihanraya di Israel.

Bagi mengelak usaha jahat sesetengah pihak untuk menafikan kewujudan negara Palestin yang merdeka adalah penting bagi pihak Palestin untuk mengambil langkah serta strategi awal supaya hasrat mereka untuk menjadikan wilayah Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka tidak digugat oleh mana – mana pihak di masa depan. Diantara langkah penting bagi memastikan kewujudan sebuah negara Paletin yang merdeka ialah melalui keanggotaan Palestin ke dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Langkah keanggotaan Palestin ke dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) perlu dilihat oleh semua pihak sebagai salah satu usaha positif untuk menjamin kewujudan negara Palestin di masa akan datang.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah ditubuhkan sekitar tahun 2002 sebagai sebuah tribunal tetap khusus untuk membicarakan kes – kes yang melibatkan jenayah berat atau serius kemanusiaan seperti pembasmian kaum, jenayah hak asasi manusia, jenayah perang, jenayah kekerasan dan sebagainya. Dengan penyertaan pihak Palestin ke dalam mahkamah ini, ia dapat membuka ruang siasatan mengenai segala insiden kekejaman serta jenayah perang yang telah dilakukan oleh pihak Israel terhadap mereka.

Selain daripada itu Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terbabit itu juga memperuntukkan skop maksud “jenayah perang” yang lebih luas bagi membolehkan pihak berkuasa Palestin mengemukakan lebih banyak pertuduhan ke atas Israel dimana Artikel 7 (1) (d) statut terbabit menyenaraikan sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak penjajah untuk “menghalau atau mengusir” penduduk asal disesuatu kawasan yang dijajahnya melalui apa – apa cara pun tanpa kebenaran undang – undang antarabangsa adalah satu bentuk kesalahan jenayah perang yang boleh didakwa.

Tindakkan ini banyak dilakukan oleh pihak rejim Israel yang telah banyak mengambil tanah secara haram serta menghalau penduduk Palestin dari tanah mereka sendiri dengan hasrat jangka panjang untuk menafikan hak warga Palestin untuk mewujudkan negara mereka sendiri.

Artikel 8 (2) (viii) statut terbabit juga memperuntukkan jenayah perang meliputi aspek “penempatan penduduk” yang telah banyak dilakukan oleh pihak penjajah Israel dikawasan yang dijajah mereka semenjak mereka menduduki wilayah Palestin lebih setengah abad yang lalu. Jika dilihat dengan teliti, pihak rejim Israel telah banyak membuka penempatan haram mereka dikawasan penduduk Palestin terutamanya di Tebing Barat dan Timur Baitulmaqdis yang telah dirampas pada tahun 1967 dengan hasrat untuk dijadikan sebagai ibu kota negara Israel yang tidak boleh dikongsi oleh mana – mana pihak termasuk pihak Palestin. Jesteru itu, keanggotaan Palestin ke dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) adalah usaha penting bagi pihak Palestin bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan wilayah mereka yang telah lama diceroboh serta dijajah.

Oleh yang demikian, kesan keanggotaan Palestin ke dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) adalah besar khususnya bagi menjamin kewujudan sebuah negara Palestin itu sendiri. Pihak berkuasa Palestin perlu mengambil pelbagai langkah lagi bagi terus menjamin hak mereka untuk menjadikan wilayah mereka bebas merdeka dari penjajahan rejim Israel.

Dengan pelbagai tekanan yang diberikan oleh pihak rejim Israel, usaha ini tidak boleh lakukan secara bersendirian oleh pihak Palestin. Masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya khususnya Malaysia yang memiliki banyak pengalaman dalam hubungan politik antarabangsa perlu bergiat aktif dengan mengerakkan usaha serta berkerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi terus memberi jaminan serta berusaha gigih kearah kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka dari penjajahan dan kekejaman berterusan dari rejim Israel.


*Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.