Ahli astrofizik pertama negara, Prof. Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman menyifatkan keazaman yang ada pada `Iron Lady', Allahyarham Datuk Maznah Hamid wajar dicontohi semua wanita.

Menurutnya, kejayaan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd membina empayar perniagaan dalam bidang kawalan keselamatan sejak 1980 itu juga membuktikan bahawa Allahyarham seorang tokoh yang berkebolehan besar sekali gus mampu memberi inspirasi kepada wanita lain.

“Gelaran `Iron Lady' ini menunjukkan beliau mempunyai keazaman sangat kuat dalam bidang yang diceburi.

"Saya lihat penglibatan beliau dalam bidang kawalan keselamatan adalah sesuatu yang luar biasa dan ini bermakna beliau berjaya memecahkan monopoli lelaki dalam bidang tersebut," katanya ketika ditemui di Simposium Keusahawanan Angkasa 2017 di Universiti Putra Malaysia.

Pada Rabu, Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita berkaliber apabila Maznah dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dilaporkan mengalami komplikasi injap di bahagian jantung yang mengeras akibat kalsium berlebihan.