Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menggesa Wisma Putra dan Kementerian Pelancongan memantau kes menahanan Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden bersama isteri agar keempat-empat anak pasangan tersebut tidak tersadai tanpa sebarang bantuan.

“Wanita sebagai ibu berasa teramat bimbang terhadap apa yang akan terjadi kepada anak-anak Islam warga Malaysia di luar negara sekiranya ibu-bapa ditahan atau direman oleh pihak berkuasa di sana.

“Saya juga memohon kepada Pejabat Peguam Negara untuk memantau kes ini dengan lebih lanjut dan memohon agar meneliti prosidur untuk membawa pulang kanak-kanak tersebut atau sekurang-kurangnya untuk mereka ditempatkan bersama-sama keluarga Islam,” kata Shahrizat.

Sebelum ini, anak sulung pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal memberitahu bahawa beliau tidak selesa apabila ditempatkan bersama keluarga angkat bukan Islam.

Tahanan reman Azizul Raheem dan isteri dilanjutkan kira-kira dua minggu lagi.