Lima rakyat Malaysia masih menerima rawatan di hospital susulan kejadian kebakaran di sebuah hotel di Sadao, Songkhla, Selatan Thailand semalam.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar berkata tiga mangsa menerima rawatan di Hospital Hatyai manakala dua lagi di Hospital Songkhla.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, seorang mangsa berada dalam keadaan serius manakala empat lagi dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita di sini.

Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah melawat mangsa di hospital hari ini.

Dalam kejadian 8.25 pagi (waktu tempatan), 15 orang rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata kebakaran di hotel itu dipercayai berpunca daripada litar pintas dan sekali gus menolak dakwaan kejadian itu berlaku disebabkan sabotaj mahupun serangan pengganas.

-- BERNAMA