Kebakaran di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) Gebeng seperti yang ditularkan menerusi video dalam media sosial malam tadi berpunca daripada litar pintas Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) dalam satu kenyataan media kepada Bernama di sini berkata pihaknya telah bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani hal ini.

"Polis dan bomba turut berada di kawasan kejadian untuk membantu dalam menangani hal ini.

"Tiada kemalangan membabitkan nyawa kakitangan ASSB," menurut kenyataan itu.

Video kebakaran di kawasan MCKIP itu tersebar di media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp sehingga menimbulkan tanda tanya tentang soal keselamatan pekerja di kilang itu.