Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) telah memulakan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran di sebuah daripada transformer di Kompleks Gas Asli Cecair Petronas (LNG) di Bintulu pagi tadi.

Jabatan Hal Ehwal Awam MLNG berkata, kebakaran dikesan di sebuah daripada transformer di pencawang No 42 pada 9.40 pagi am dan ketika itu juga, Pasukan Intervensi Pertama MNLG dengan serta-merta dikerahkan untuk menangani keadaan.

"Api dapat dipadamkan menjelang 10 pagi dan menjelang 10.15 pagi, penggera telah dibunyikan untuk memaklumkan bahawa keadaan terkawal dan semua aktiviti di stesen disambung semula," kata jabatan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

"Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan. Insiden itu tidak memberi impak kepada alam sekitar dan masyarakat," kata jabatan itu.

MLNG berkata siasatan adalah selaras dengan standard dan amalan antarabangsa.