Ratusan bukan waris hadir ke pengebumian 11 mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Caves yang berlangsung hari ini.

Salah satu daripada mereka, yang ingin dikenali sebagai Jumuah berkata salah seorang mangsa merupakan kenalan anaknya.

"Tragedi ini merupakan satu perkara yang menyayat hati, bukan sahaja bagi keluarga atau kenalan mangsa tetapi saya percaya bagi seluruh negara," kata Jumuah.

Pendapatnya turut dikongsi beberapa bukan waris yang ditemui Astro AWANI ketika upacara pengebumian yang mula dihadiri orang ramai sejak jam 4 petang.

"Sedih, cuba bayangkan kalau ahli keluarga kita sendiri yang kena," kata Azman, 38, yang menziarahi lokasi itu untuk memberi penghormatan akhir.


Malah, kelihatan petugas-petugas kawalan trafik menunjukkan rasa sayu dan menahan air mata ketika jenazah-jenazah tersebut tiba satu persatu ke tanah perkuburan.

Sementara itu, penceramah bebas Ustaz Ebit Lew yang turut hadir upacara pengebumian tersebut meminta supaya semua mengambil iktibar daripada insiden tragik ini.

"Namun, janganlah kita lihat ia (iktibar) dari sudut negatif seperti menunding jari ke pihak tertentu.

"Perkara yang lebih penting adalah mencari cara penyelesaian atau kaedah untuk mengelakkan tragedi sebegini daripada berlaku lagi," kata beliau.

Upacara pengebumian bagi kesemua 11 jenazah selesai pada jam 8.30 malam Jumaat.

BACA: Pusat tahfiz terbakar: 23 maut, empat kritikal