Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kebakaran sebuah rumah yang meragut nyawa dua beradik dalam kejadian di Jalan Utama Kampung Endah, Banting dekat sini semalam, tiada kaitan dengan sebarang unsur jenayah.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata siasatan awal pihaknya menunjukkan insiden kebakaran rumah itu berpunca daripada kejadian litar pintas.

"Siasatan awal mendapati (kebakaran rumah) disebabkan litar pintas, bagaimanapun kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang di sini, pada Isnin.

Pada majlis itu, JBPM Selangor menerima sebuah van jenazah yang disumbangkan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng ataupun lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang'.

Mengulas lanjut, Norazam berkata dalam kejadian kebakaran yang meragut nyawa dua remaja itu semalam, ibu bapa mereka tiada di rumah kerana menyiapkan tempahan makanan untuk anggota bomba yang bertugas memadamkan kebakaran di sebuah kilang kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

"Kami JBPM Selangor merakam ucapan takziah kepada ibu bapa dua beradik ini dan pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka amat besar jasanya kepada pihak jabatan," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 2.48 pagi semalam, mayat Salsabila Mohd Fakrul Khair, 16, dan adiknya Nur Ain Sumayyah, 13, yang rentung, ditemukan dalam bilik oleh anggota bomba setelah kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

Dalam perkembangan lain, Norazam berkata pihaknya akan memeriksa semua kilang di kawasan perindustrian Pulau Indah bagi mengenal pasti sekiranya wujud bahan kimia berbahaya serta mudah terbakar di simpan di premis berkenaan.

Beliau berkata langkah itu dilihat perlu dilakukan supaya jabatan berkenaan boleh membuat persediaan awal dan lebih berwaspada sekiranya berlaku kebakaran di kilang-kilang itu.

Katanya, menerusi pemeriksaan ke atas setiap kilang itu juga, anggota bomba boleh mengetahui cara menangani kebakaran membabitkan bahan kimia memandangkan setiap daripada bahan berkenaan mempunyai cara berbeza untuk dipadamkan.

"Seperti kebakaran di tiga kilang pada minggu lepas, kita tidak tahu kilang itu simpan bahan apa sehingga ada kes (kebakaran kilang) mengakibatkan tujuh anggota kita cedera (ringan) kerana berlaku sedikit letupan ketika operasi pemadaman kebakaran. Mujur ketika itu, anggota tidak berada dalam kilang, jika tidak, pasti mereka akan mengalami kecederaan yang agak parah," katanya.

-- BERNAMA