Dua jenazah daripada 23 mangsa kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini, dijangka diserahkan kepada pihak keluarga malam ini.

Sumber polis memberitahu Bernama bahawa urusan identifikasi dan pengecaman telah selesai dijalankan terhadap dua jenazah itu petang tadi.

"Dua jenazah itu akan diserahkan kepada keluarga untuk proses seterusnya seperti mandi jenazah, kafan, solat dan pengebumian," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Beliau berkata selain itu, empat sampel DNA telah dihantar ke Jabatan Kimia dan baki sampel lain akan diserahkan ke jabatan itu selewat-lewatnya malam ini.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz berkenaan terkorban dalam insiden 5.15 pagi itu.

-- BERNAMA