Ketiadaan sistem yang menyeluruh di peringkat antarabangsa menyebabkan kejadian seperti kebakaran hutan yang berlaku di beberapa kawasan di dunia ketika ini yang sekali gus menyebabkan jerebu kekal berterusan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia termasuk kebakaran hutan di Indonesia serta sokongan Presiden Brazil yang baharu, Jair Bolsonaro, terhadap pembakaran terbuka bagi pertanian.

“Anda boleh salahkan Indonesia, anda boleh mengkritik mereka, tetapi mereka akan terus dengan pembakaran mereka, anda akan tetap menerima jerebu.

“Sebagaimana yang anda semua tahu Presiden Brazil yang baharu percaya kepada pembakaran hutan sebagai aktiviti untuk pertanian, dan tiada siapa yang boleh menghalang beliau setakat ini.

"Jadi, saya rasa sistem semasa tidak membenarkan kita untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain,” katanya pada sesi soal jawab seiring Forum Pemimpin Dunia yang berlangsung di Columbia University pada Rabu.

Ditanya sekiranya tindakan lebih keras seperti sekatan ekonomi mampu menangani masalah jerebu, Perdana Menteri berkata badan dunia akan mula menyedari perkara itu ketika seluruh dunia dilitupi jerebu.

“Akan tiba masa ketika kebakaran makin berluasa, dan seluruh dunia dilitupi jerebu, ketika itu saya rasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mungkin akan berkata - ini bukan lagi hal dalaman negara semata-mata, ini sudah menjadi masalah dunia dan dunia seharusnya melaksanakan hak mereka untuk mengambil tindakan.

"Sekiranya kita mempunyai pandangan yang sebegini, kemudian barulah kita boleh berbuat sesuatu apabila seseorang enggan menerima bantuan untuk memadamkan kebakaran misalnya,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata ketika ini badan tertinggi dunia itu tidak mampu berbuat apa-apa, namun usaha perlu dilakukan.

Katanya beliau faham Indonesia juga menenerima kesan jerebu yang serius, dan ini mungkin akan membawa kepada pendirian yang lebih tegas berhubung usaha mengawal kebakaran hutan di negara mereka.