Kebangkitan intifada ataupun pemberontakan yang diumumkan Hamas baru-baru ini akan melibatkan rakyat Palestin yang lebih meluas dan bukan sahaja kalangan anggota Hamas atau kumpulan penentang.

Penganalisis Asia Barat, Maszlee Malik berkata semangat intifada ini juga dipacu mesej Presiden Palestin Mahmoud Abbas yang jelas menentang keputusan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

“Kita mengharapkan supaya negara-negara Islam turut serta memberikan sokongan kepada Palestin.

“Ini boleh memberi tekanan kepada Israel dan Amerika Syarikat supaya tidak melakukan apa yang mereka mahu lakukan,” kata Maszlee dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.

Sementara itu, Maszlee turut menjelaskan impak melaksanakan intifada terhadap negara-negara yang menyokong keputusan tersebut.

“Ia pasti akan mengeruhkan hubungan Amerika Syarikat dengan negara terbabit. Yang kedua, perjanjian damai yang sedang diusahakan di antara Hamas dan Fatah akhirnya akan membawa kepada satu perkembangan baharu.

“Jadi apa yang dilakukan oleh Trump dan negara Israel ini akan merencatkan pembangunan terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka.

“Kita akan kembali kepada keadaan lama, iaitu berlakunya konflik bersenjata, sepertimana yang berlaku kali terakhir, perang ke atas Gaza dan kali ini ia bukan sahaja melibatkan warga Gaza, malah membangkitkan kemarahan mereka yang berada di Tebing Barat, dan di Baitulmaqdis sendiri,” kata Maszlee.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniya sebelum ini berkata keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel adalah deklarasi perang terhadap rakyat Palestin.

Susulan itu, penunjuk perasaan Palestin berkumpul di jalan-jalan di Tebing Barat seperti Ramallah, Hebron dan Hablus serta di Semenanjung Gaza bagi menunjukkan tanda protes berhubung kepada AS.