Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan bahawa kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan memelihara kebebasan kepercayaan sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

PH katanya komited memastikan keadaan toleransi dan harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia tetap dijaga.

“Agama Islam agama Persekutuan, agama lain ada hak untuk anuti agama masing-masing.

“Kebebasan kepercayaan adalah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, dan kami akan terus pastikan bahawa kebebasan akan terus dipelihara di Malaysia,” katanya ketika menyempurnakan sambutan Hari Wesak di Buddhist Maha Vihara, Brickfields hari ini.

Sempena sambutan kelahiran pemimpin agama Buddha, Siddharta Gautama ini, Guan Eng berpesan kepada para penganut agama itu supaya meneladani konsep ‘Triple Gem’ untuk berganding bahu membina negara ini.

“Buddha, Dharma dan Sangha memperlihat kepentingan bukan sahaja memegang kebenaran untuk membebaskan kita, tetapi kita semua mesti bekerja bersama.

“Ini Malaysia baharu yang kita mahu bebas dari korupsi, bebas dari penindasan, bebas dari ketidakadilan,” jelasnya.

Turut sama menemani beliau ke majlis itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysi, A.J.M. Muzammil serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.