PERASAAN teruja untuk pulang ke negara kelahiran setelah lama merantau di tempat orang pasti dinanti-nantikan terutama apabila ingin menyambut Syawal bersama keluarga tercinta.

Namun, hasrat seorang pelajar Malaysia yang mengikuti Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE di Belgaum, India untuk menjamah air tangan ibu pada Hari Raya pertama perlu ditangguhkan sementara.

Ia akibat sekatan pergerakan yang dikenakan pihak berkuasa di sempadan negara bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Meskipun berada dalam suasana negara yang mengenakan perintah berkurung sejak Mac lalu, ia bagaimanapun tidak menghalang Amirol Najmi Abdul Rasid untuk menyambut kemeriahan Aidilfitri.

Mengikut perancangan awal, pelajar perubatan tahun akhir itu akan bercuti dan pulang ke kampung untuk beraya di rumah.

Namun, kekangan yang timbul membuatkan dia dan rakan-rakan yang lain memilih untuk kekal berada di India memandangkan ia merupakan tahun terakhir mereka sebagai pelajar di negara berkenaan.

“Ini merupakan kenangan beraya sebagai perantau yang paling diingati, dan juga mungkin pengalaman terakhir sebelum kembali ke tanah air pula untuk meneruskan perjalanan kerjaya bergelar doktor.

“Pada awalnya memang sedih sebab perlu membatalkan tiket penerbangan yang sudah ditempah awal, tetapi bila mendapati keadaan pandemik ini semakin teruk, kami bersedia secara mental serta sokong-menyokong satu sama lain untuk menerima hakikat tidak dapat pulang beraya,” katanya.

Menu juadah raya yang dihidang pelajar USM-KLE sempena menyambut Aidilfitri di kampus berkenaan. - Foto Ihsan Amirol Najmi

Bercakap kepada Astro AWANI ketika dihubungi, Amirol Najmi turut berkongsi normal baharu yang dilaluinya sebagai pelajar perubatan yang kini menjalani kelas secara dalam talian.

“Bidang kami ini memerlukan banyak praktikal dan interaksi bersama pensyarah ketika sesi pembelajaran. Jadi, cabaran utama adalah apabila sesi menuntut ilmu hanya boleh dilakukan secara ‘online’ buat masa ini,” katanya.

Amirol (depan) bersama rakan-rakan dari bidang perubatan yang menyambut perayaan Aidilfitri di kampus USM-KLE. - Foto Ihsan Amirol Najmi

Berkongsi harapan sama seperti rakan-rakan, Amirol Najmi berharap pilihan yang dibuat mereka berbaloi dengan pengorbanan mereka yang membatalkan niat pulang beraya di Malaysia.

Ketika ini, mereka menghabiskan baki hari dan sesi pembelajaran serta sesi peperiksaan akhir di kampus pesisir ‘Karnataka Lingayat Education’.

Sehingga kini, India masih mengenakan perintah berkurung bersyarat yang dijangka berakhir pada 31 Mei.

Untuk rekod, negara itu mencatatkan 144,118 kes jangkitan dengan 4,117 kematian akibat COVID-19 setakat ini.