Sembilan pekerja kilang pemprosesan ayam di Merlimau, di sini terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas ekoran kebocoran gas amonia di kilang berkenaan.


Dalam kejadian sekitar 11.40 pagi tadi itu, kesemua tiga pekerja lelaki dan enam pekerja perempuan difahamkan dibawa ke Hospital Jasin bagi menerima rawatan lanjut.



Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, pasukan bomba menerima panggilan pada jam 11.42 pagi sebelum sebuah jentera digegaskan ke lokasi kejadian.


“Sebaik tiba di lokasi, sembilan pekerja mengalami sesak nafas akibat terhidu bau gas berkenaan.

“Kesemua mangsa kemudian dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans pasukan penyelamat bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.


Berdasarkan tinjauan Astro AWANI di lokais kejadian, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) turut berada di lokasi bagi mengesan dan mengawal kebocoran.


Kesemua pekerja juga diarahkan untuk mengosongkan premis kilang bagi mengelak perkara tidak diingini.