Kebolehpasaran graduan politeknik di Malaysia sudah mencapai 94.5 peratus.

Selain itu, mengikut kajian pengesanan graduan, kebolehpasaran graduan universiti di Malaysia pula telah mencapai 79.1 peratus pada tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ini merupakan peningkatan sebanyak 4.1 peratus jika dibandingkan pada tahun 2013.

"Pencapaian ini adalah susulan daripada langkah-langkah yang diambil Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Ini termasuk sistem penilaian iCGPA (Pentaksiran Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu) dimana prestasi pelajar bukan hanya dinilai dari aspek akademik tetapi juga kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran berkomunikasi dan nilai keusahawanan," kata Idris.

Tambah beliau, dengan ini, pelajar-pelajar yang dihasilkan akan mempunyai kemahiran yang menyeluruh dan menepati kehendak industri.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) ketika Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Soalan Abdul Aziz memberi tumpuan kepada kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia ketika ini.