ALOR SETAR:Kerajaan Kedah mula mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi membantu rakyat yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) bermula 22 Januari sehingga 4 Febuari ini.

Menurut Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, ia langkah mendepani cabaran PKP2.0 dalam usaha meringankan bebanan rakyat terutama golongan B40.

Jelasnya, PKOB ini akan menjadi pusat pengumpulan serta penghantaran barangan keperluan asas seperti bekalan asas seperti beras, minyak masak, tepung, makanan dalam tin dan lain-lain lagi.

Agensi yang mengawal selia bantuan ini seperti Pejabat Daerah, Pejabat ADUN dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menguruskan keperluan membantu golongan B40, peniaga kecil dan penjaja yang terjejas, katanya.

"Kita telah membuat keputusan semua pejabat daerah akan membuka PKOB yang akan menyelaraskan keperluan dan bantuan sepanjang PKP berkuat kuasa di negeri ini," katanya.

Sementara itu, ditanya berkaitan bantuan kewangan iaitu bantuan khas rakyat sepanjang PKP, beliau berkata ia bergantung pada keadaan semasa dan pihaknya akan mengumumkannya dalam tempoh PKP ini.

Ujarnya, kerajaan negeri juga telah menggariskan beberapa inisiatif yang bakal dilaksanakan untuk merangsang ekonomi golongan usahawan, pembinaan dan industri supaya tidak terjejas sepanjang tempoh PKP.