Dalam setahun, purata kes ibu bapa atau waris mengabaikan anak-anak mereka di Kedah adalah sebanyak tiga hingga emapt ratus.

Sepanjang tempoh itu juga, ibu bapa dan waris didapati melakukan penderaan dan penyalahgunaan dadah ke atas anak-anak mereka.

Pendedahan dibuat Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Azmi Abd Karim.

“Secara purata, dilaporkan sebanyak sehingga 400 kes pengabaian kanak-kanak setahun. Ini termasuk kes anak-anak ditinggalkan di rumah bersendirian dan kanak-kanak dijumpai tidur di tepi jalan, jadi kita selamatkan mereka.

“Kes pengabaian kanak-kanak ini tidak semestinya melibatkan kes kanak-kanak dipukul,” jelasnya.

Beliau yang ditemui di Majlis Iftar Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Kedah bersama golongan asnaf di Dewan Sri Mentaloon Alor Setar berkata, pihak JKM akan menjadi orang tengah bagi menjadi penjaga yang sah kepada anak-anak yang diabaikan ibu bapa.

Ini kerana ia berupaya membendung pelbagai masalah yang mungkin terjadi kepada kanak-kanak terabai seperti terlibat dalam penyalahgunaan dadah, sumbang mahram serta kebuluran.

Dalam satu kes terbaharu di Kedah pada Isnin lalu, Mahkamah Majistret Yan mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap pasangan suami isteri yang dipercayai mendera anak lelaki mereka yang berusia dua tahun sehingga mati.

Pasangan tersebut turut positif dadah jenis methamphetamine selepas pemeriksaan air kencing dibuat kedua dua mereka.