Kerajaan Negeri Kedah sedang mempertimbangkan untuk mencadangkan supaya pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dibuka selama 24 jam kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni Budaya, Belia dan Sukan Kedah Asmirul Anuar Aris berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan, khususnya Kementerian Dalam Negeri, jika wujud permintaan tinggi dari rakyat negeri ini.

Begitu juga, sekiranya tempoh percubaan tiga bulan yang dikuatkuasakan sekarang berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.

Jelas Asmirul, cadangan tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan hubungan dua hala dalam sektor ekonomi, bahkan kawasan-kawasan tumpuan di negeri ini juga bakal menerima lebih banyak kunjungan dari pelancong luar.

Namun demikian, tegasnya, peranan kerajaan negeri hanya mencadangkan perkara tersebut, tetapi keputusan akhir adalah di tangan kerajaan persekutuan.

"Jadi, apabila kita buka (sempadan) untuk permulaan tiga bulan pertama yang untuk lori, saya faham semua orang nak pergi makan pulut ayam, keluar masuk makan daging bakar dan sebagainya.

"Tetapi bagi saya, kerajaan sentiasa memerhati, dan keputusan itu akan diperhalusi melalui mesyuarat Exco dan kerajaan persekutuan.

"Kerajaan negeri hanya memberi cadangan. Kerajaan persekutuan akan buat keputusan. Setakat sekarang, kita lihat, hendak memberi impak ekonomi kepada negeri Kedah," kata Asmirul.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan majlis pembukaan rasmi dan jamuan Aidilfitri Syarikat Proriders Auto Highway, di sini, hari ini.

Bermula 18 Jun lalu, pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam telah dibuka selama 24 jam kepada kenderaan muatan berat.

Ia bertujuan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di pintu sempadan selain memudahkan urusan perniagaan dan perdagangan antara kedua-dua negara.