Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menumpaskan sindiket penebangan hutan secara haram dan merampas 25 batang balak jenis meranti bernilai kira-kira RM100,000 di Kompartmen 28 Hutan Simpan Gunung Bongsu di Kulim pada 13 dan 14 Julai lepas.

Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Abu Hasan berkata pihaknya turut menahan empat lelaki tempatan berumur di antara 23 hingga 48 tahun secara berasingan dalam Operasi Khas Penguatkuasaan Hutan itu.

"Tangkapan pertama pada Khamis (13 Julai) kira-kira 9.40 pagi membabitkan dua lelaki manakala dua lagi lelaki ditahan keesokannya (14 Julai) pada 10.40 pagi.

"Mereka ditahan ketika melakukan aktiviti penebangan hutan secara haram, yang dipercayai telah aktif sejak awal tahun ini, selepas menceroboh hampir 20 hektar hutan kekal di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut disita dalam operasi terbabit ialah dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah Excavator Hitachi, satu unit gergaji berantai dan sebuah lori yang digunakan dalam sindiket berkenaan, katanya.

--BERNAMA