Dalam usaha melindungi hak dan tanah Melayu, Kerajaan Negeri Kedah telah mewujudkan satu taskforce yang berperanan melindungi kepentingan orang Melayu atas Hak Milik Tanah Simpanan Melayu.

Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ia adalah sebagai satu platform segera untuk mengelak daripada kehilangan tanah berstatus Simpanan Melayu.

Jelas Mukhriz, tanah rizab yang tidak menguntungkan orang Melayu akibat nilai yang tidak meningkat juga menjadi salah satu punca kerajaan Kedah untuk mewujudkan taskforce ini.

Langkah itu juga dapat mengurangkan risiko serta menutup ruang kepada mana-mana pihak ketiga mengambil kesempataan atas kelemahan dalam urusan pentadbiran tanah.

"Kita lihat bahawa tanah simpanan Melayu tak untungkan orang Melayu kerana ada syarat-syarat sebegitu. Nilainya tak boleh meningkat kerana mungkin yang sanggup membeli tanah dengan syarat itu bukanlah dari kalangan orang yang mempunyai kemampuan tinggi.

"Kalau boleh nak dipanjangkan lagi supaya dibenarkan pembangunan oleh pelabur di atas tanah simpanan Melayu. Hak milik juga kekal dalam tangan pihak Melayu tersebut dan dibenarkan pajakan untuk pembangunan, (maka) dua-dua pihak boleh dapat hasil daripada pembangunan tanah itu," ujar beliau.

Sementara itu, beliau menjelaskan negeri Kedah masih memiliki lebih 70 peratus Tanah Rizab Hak Milik Melayu dan akan berusaha mempertahan dan menambah nilainya bagi keuntungan dan kepentingan anak anak Melayu pada masa hadapan.

Mukhriz berkata demikian ketika hadir bagi menyampaikan ucaptama dan melancarkan Kaedah Kaedah Tanah Kedah (KKTK) di Dewan Sri Mentaloon Alor Setar, Kedah pada Selasa.