Dalam kesibukan umat Islam di sini berbuka puasa petang Sabtu, empat lelaki mengambil kesempatan untuk menyamun sebuah kedai emas di sebuah pasaraya di Bandar Dato Onn, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata dalam kejadian itu, empat lelaki yang memakai topeng dengan seorang membawa senjata menyerupai pistol manakala dua lagi membawa tukul besi menyerbu masuk ke kedai emas itu pada 7.23 malam lalu memecahkan cermin pameran barang kemas.

"Seorang suspek lagi memegang beg ketika tiga lagi rakannya mengaut masuk barang kemas yang disamun dan mereka hanya mengambil masa tiga minit sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Shahurinain berkata ketika kejadian empat jurujual berada di kedai emas itu manakala pengawal keselamatan berada di bilik rehat.

Beliau berkata tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan nilai barang kemas disamun dianggarkan RM130,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan .

-- BERNAMA