Jumlah kehadiran pelancong Arab Saudi ke Malaysia akan bertambah hasil lawatan sulung Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud minggu lalu.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata menjadi kelaziman jika seseorang pemimpin melawat sesebuah negara, ia bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan negara terlibat tetapi turut memberi pelbagai manfaat termasuk daripada aspek pelancongan.

"Ini kerana ia memberi keyakinan bahawa hubungan negara terlibat adalah baik dan akrab yang membuatkan mereka berasa selesa untuk datang melancong," katanya kepada pemberita selepas majlis pemimpin bersama Ahli Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Padang Rengas di sini, hari ini.

BACA: PM Najib rumus empat manfaat utama kunjungan Raja Salman

BACA:
Lawatan Raja Arab Saudi ke Malaysia buka peluang pelaburan baharu

Mohamed Nazri berkata pada tahun 2016, jumlah kehadiran pelancong dari Arab Saudi ke Malaysia menunjukkan pertambahan 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Statistik pelancong dari Arab Saudi menunjukkan trend peningkatan sebanyak 24.2 peratus dalam tempoh 2015 hingga 2016, iaitu daripada 99,754 kepada 123,878 pelancong.

Pada 16 Mei 2016, Malaysia dan Arab Saudi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam sektor pelancongan.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju mengambil langkah perlu bagi menggalakkan promosi dan kerjasama dalam sektor berkenaan melalui permuafakatan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta latihan bersama dalam program berkaitan pelancongan.

Isnin lalu, Raja Salman mengadakan kunjungan sulung selama empat hari ke Malaysia selepas ditabal sebagai Raja Arab Saudi pada 23 Jan 2015.

-- BERNAMA